LABIS 18 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion untuk memaju dan membangunkan warga Felda di seluruh negara pada tahun ini.
Beliau berkata, peruntukan itu merangkumi pelbagai usaha menambah baik kemudahan dan keselesaan masyarakat Felda termasuk pengurusan, pinjaman, perparitan dan prasarana yang lain.
Menurutnya, peruntukan besar itu sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Felda bankrap.
"Ini peruntukan Felda sendiri dan bukan daripada kerajaan Pusat. Siapa kata Felda bankrap? Adakah orang bankrap boleh belanja RM1.6 bilion?
"Jadi, apa hal yang kata (Felda) bankrap ni? Kita punya aset RM15 bilion dan saham RM5 bilion yang boleh cair hari ini," tegasnya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Felda Chemplak dekat sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, Felda tidak gentar dengan tuduhan itu dan tindakan menyaman terhadap pihak yang membuat fitnah kononnya Felda bankrap akan tetap diteruskan.
"Kita tidak takut, saman tetap jalan (diteruskan), keputusan (mahkamah) akan berdasarkan kebenaran dan fakta," katanya.
Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM8.5 juta daripada Felda untuk program pembangunan prasarana 500 buah lot rumah yang akan diberi kepada generasi kedua peneroka Felda.
"Ini bukanlah sesuatu angan- angan yang direka kita ataupun janji yang tidak berpijak di atas bumi yang nyata (seperti) yang mutakhir ini... mudah diluahkan oleh parti pembangkang.
"Ini adalah satu rekod pencapaian yang luar biasa yang telah diperjuangkan dan hasilnya dapat dilihat hari ini. Kejayaan Felda mengubah keadaan hidup masyarakat yang bertuah kerana terpilih menjadi peneroka Felda dan bertuah kerana bernaung di bawah kerajaan kita, kerajaan BN (Barisan Naisonal)," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri melancarkan tapak lot rumah generasi kedua Felda Chemplak yang terletak berhampiran sekolah tersebut.
Dalam pada itu, Najib berkata, peneroka Felda kini boleh dikategorikan sebagai masyarakat golongan pertengahan berdasarkan purata pendapatan bulanan mereka yang berjumlah lebih RM3,000.
Beliau berkata, jumlah pendapatan itu melepasi sasaran kerajaan iaitu untuk meningkatkan kira-kira 40 peratus rakyat yang berpendapatan di bawah RM2,300.
"Bila kita buat Model Baru Ekonomi (MBE), kita buat taksiran mereka yang berpendapatan bawah RM2,300 iaitu berjumlah 40 peratus di negara kita adalah mereka yang perlu ditingkatkan pendapatan mereka.
"Kita dapat tahu masyarakat Felda di sini dan semua (seluruh negara), tidak tergolong dalam jumlah 40 peratus ini. Ini secara rasmi menunjukkan peneroka Felda adalah golongan pendapatan pertengahan di negara kita," katanya.
Beliau berkata, pendapatan tersebut merupakan angka yang besar bagi masyarakat Felda kerana kos hidup di kawasan itu lebih rendah berbanding di bandar.
Menurutnya, taraf hidup keluarga peneroka sekarang ini juga bertambah baik dan ia boleh dibuktikan melalui keadaan kediaman mereka.
Rakyat malayasia harus bangga dengan apa yang telah kita miliki pada hari ini.Bersyukur dan terima kasih pada kerajaan.
Sumber : Utusan
Comments
Post a Comment